Home Segmen OTAK! Microsoft Edge: Reinkarnasi Internet Exporer yang Lebih Baik Berbanding Chrome?

Microsoft Edge: Reinkarnasi Internet Exporer yang Lebih Baik Berbanding Chrome?

by ATAN x MG

Internet Explorer antara pelayar web yang terkenal, bahkan statusnya sebagai lagenda tidak akan pernah dilupakan terutama generasi yang pernah merasai kerancakan bermain Minesweeper, Pinball dan sistem operasi sebelum Windows XP. Bukan sahaja terkenal kerana ‘kepantasannya memuat halaman tapi fungsi utamanya sebagai perantara untuk memuatturun pelayar lain seperti Firefox dan Chrome juga akan sentiasa dikenang bak kata orang Kedah, biar jasa jadi kenangan. Pun begitu, 17 Ogos 2021 kelak akan menyaksikan riwayatnya sebagai otai dalam arena perkomputeran berakhir.

IE atau sebelumnya dikenali sebagai MSIE (Microsoft Internet Explorer) dan Windows Internet Explorer mengharungi zaman kegemilangannya pada awal abad ke-21 terutamanya pada 2003 di mana ia mengumpul sehingga 95% penggunaan global lantas menyaksikan kejatuhan pelayar terkemuka waktu itu, Netscape yang pastinya begitu asing dalam kalangan generasi hari ini. Pun begitu, ia mula mengalami kejatuhan apabila Firefox diperkenalkan pada 2004 dan kemudian arena ini didominasi oleh Chrome hingga ke hari ini. Antara punca kejatuhannya adalah ledakan sistem operasi baharu seperti iOS dan Android yang tidak menyokong IE di platform masing-masing.

Sejak 2015, selari dengan pembangunan Windows 10, Microsoft mula mengorak langkah ke arah penambahbaikan pelayar mereka yang telah lama didominasi Firefox dan kemudian Chrome. Dengan nama Project Spartan, Microsoft secara rasmi mula melangkah ke era baru pelayar mereka lantas meninggalkan IE (Internet Explorer) selaku pelayar web sulung. Dengan kelahiran Windows 10 juga, Project Spartan yang kini dinamakan Microsoft Edge hadir secara terbina dalamnya bersama Cortana.

Jenama dan logo Edge sebenarnya berkongsi beberapa persamaan dengan IE di mana memfokuskan huruf ‘e’ sebagai nama dan logo namun Edge dari segi logo nyata lebih kontemporari dan segar walaupun IE turut memperbaharui logonya. Hal ini kerana, Microsoft mahu mengekalkan kesinambungan antara kedua-dua jenama ini mereka ini dan secara tidak langsung juga memberi penghormatan terhadap IE. Edge kemudian hadir di platform Android dan iOS pada 2017 dan 2019 di MacOS. Chrome terkenal dengan kelajuannya memuat halaman hasil daripada enjin buatan Google sendiri, Chromium. Edge pula seawal kemunculannya menggunakan enjin daripada Microsoft sendiri iaitu EdgeHTML.

2018, Microsoft mengeluarkan kenyataan bahawa mereka akan meninggalkan EdgeHTML dan bakal menjadikan Chromium sebagai enjin Edge dengan beberapa tetapan dan ciri akan diubahsuai oleh Microsoft. Edge juga bakal tersedia untuk Windows 7 dan 8.

Microsoft melancarkan Edge generasi baru ini pada April 2019 pada umum. Kesediaan Edge di MacOS juga menandakan kali pertama pelayar buatan Microsoft tersedia di platform Mac setelah 13 tahun di mana pelayar terakhir ialah IE yang ditarik balik daripada platform tersebut pada 2016.

            Microsoft Edge versi awal yang kini digelar Edge Legacy tidak mempunyai ramai pengguna bahkan kebanyakan pengguna masih mengesyorkan Chrome berbanding pelayar lain. Hanya apabila Microsoft melancarkan Edge baharu yang berasaskan enjin Chromium, maklum balas positif semakin meningkat dan mula mendapat perhatian lebih banyak orang. Laman gergasi teknologi seperti Verge dan pengulas teknologi lain juga mula berkongsi pengalaman mereka menggunakan Edge versi Chromium. Dalam masa beberapa bulan saja kebanyakan pengguna sudah mula menjadikan Edge sebagai pelayar tetap menggantikan Chrome. NetMarketShare pada September lalu melaporkan Edge telah melangkaui Firefox sebagai pelayar web paling popular selepas Chrome dengan peratusan penggunaan sebanyak 8.4% berbanding Firefox dengan 7.2% walaupun Chrome masih jauh di hadapan dengan 69.9%.

            Dengan Chromium, Edge didapati memberi prestasi yang lebih pantas berbanding Chrome dengan penggunaan RAM yang lebih sedikit. Jika IE sebelum ini terlalu perlahan memuat halaman, namun Edge dilihat telah memecah sumpah tradisi tersebut. Antara yang mengejutkan banyak pihak adalah penggunaan RAM yang sedikit oleh Edge sedangkan kelajuannya memuat naik halaman dan video setanding Chrome, bahkan dalam sesetengah situasi lebih pantas. Bukan itu sahaja, sesetengah pengguna juga mendapati penggunaan CPU di Edge juga jauh lebih rendah berbanding Chrome di mana Chrome juga kadangkala masih menggunakan kuasa CPU yang agak tinggi walaupun dibiarkan di latar dan tidak digunakan.

            Antara faktor lain yang menyebabkan pengguna beralih kepada Edge adalah ciri keselamatannya yang lebih baik berbanding Chrome. Ramai pengguna celik IT mengetahui Chrome adalah salah satu alat yang digunakan Google untuk mengumpul maklumat pengguna maka banyak ciri-ciri keselamatan dan privasi yang ketat sudah tentu tidak disediakan. Banyak pelayar lain mempunyai kelebihan dalam perihal keselamatan dan privasi pengguna contohnya Brave, yang mana ia antara pelayar yang sangat ‘tegas’ dalam privasi pengguna dan menghalang iklan. Dengan Chromium juga, Edge kini menyokong extension yang terdapat di Chrome Store, menjadikan pengguna lebih mudah meninggalkan Chrome.

            Perubahan ini sekaligus membolehkan pihak Microsoft menyertakan sejumlah ciri-ciri web terbaru dengan lebih pantas, selain pada masa yang sama mengintegrasikan sokongan kebolehan penyegerakan (sync) antara peranti, penyertaan mod Internet Explorer untuk aplikasi web yang lama, dan fungsi “Collections” untuk memudahkan pengguna mengumpulkan maklumat dari mana-mana laman web di bawah satu halaman.

Setakat artikel ini ditulis, Microsoft telah mengumumkan mereka akan menyediakan Edge di platform Linux seawal Oktober ini melalui saluran pembangun.

Kelahiran semula Edge ini secara tidak langsung memberi saingan sihat kepada Chrome yang selama ini bermaharajalela di hati pengguna walaupun dalam diam mengintip maklumat mereka. Google pastinya tidak akan berdiam diri melihat Microsoft mula mencuri pengguna mereka, bahkan telah menyertakan beberapa ciri menarik di Chrome seperti Profile Guided Optimization yang menjanjikan peningkatan prestasi sebanyak 10% dan ciri pengumpulan tab. Sebagai pengguna, pastinya kepantasan dan penggunaan RAM menjadi faktor utama dalam memilih apa-apa perisian namun jangan dilupakan, walaupun kita di era tanpa sempadan, keselamatan data peribadi haruslah dititikberatkan kerana dalam era ini maklumat pengguna adalah emas.

Artikel ini ditulis oleh Brothers In Arms of MG, Aminuddin Ahmad.

You may also like

Leave a Comment